Hapuskan istilah "Judi
Haram" sebab semua unsur judi adalah haram....
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita begitu bersungguh-sungguh
dalam usaha memerangi kegiatan dan aktiviti "Judi Haram". Pihak berkuasa
agama negeri diingatkan agar sentiasa menggempur kegiatan “Judi Haram”
dan menguatkuasakan undang-undang di bawah enakmen syariah masing-masing
kepada penganut Islam yang terjebak dengan kegiatan tidak bermoral itu.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga pernah mengumumkan penubuhan
pasukan khas bagi membanteras kegiatan “Judi Haram” yang kini berada
pada tahap serius dan luar biasa. Pasukan elit khas ini bakal memiliki
keanggotaan dua kali ganda berbanding Pasukan Khas Taktikal dan
Perisikan Narkotik (Sting) serta turut mempunyai kuasa dan peranan
seperti pasukan polis dan cekap serta terlatih dari segi operasi.
Isu judi adalah isu yang sudah lama, namun ia masih berlaku. Banyak
faktor yang boleh kita kaitkan, antaranya kelicikan pengusaha “Judi
Haram” yang beroperasi dan berselindung atas nama pusat hiburan
keluarga. Lebih-lebih lagi, mereka dipercayai mempunyai rangkaian
kerjasama dengan sindiket perjudian antarabangsa seperti di Hong Kong,
Macau serta Taiwan.
Soalnya apakah yang dimaksudkan dengan istilah “Judi Haram” atau memang
ada istilah lain seperti “Judi Halal”. Istilah ciptaan manusia “Judi
Haram” adalah untuk sebarang aktiviti perjudian yang tidak dilesenkan
dan perlu diperangi sebaliknya untuk aktiviti perjudian yang berlesen ia
tiada halangan dan boleh beroperasi secara biasa atau luar biasa.
Semua agama melarang penganutnya berjudi. Ajaran Buddha melihat gejala
berjudi boleh mendatangkan kecelakaan dan pelaku akan diberikan balasan
dan hukuman Tuhan. Ajaran Hindu melarang keras penganutnya berjudi
kerana boleh menimbulkan permusuhan dan kejahatan. Kristian pula
berpandangan judi boleh menjadikan manusia itu hamba kepada wang dan
menyimpang dari Tuhan.
Menurut agama Islam, berjudi adalah amalan yang ditegah kerana ia
perbuatan keji. Allah berfirman menerusi ayat 90, Surah al-Maidah yang
bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan
judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang
anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh
itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
Judi boleh membuatkan seseorang itu ketagih. Ia juga membuatkan
seseorang lupa tentang tanggungjawabnya terhadap keluarganya akibat suka
berjudi. Ianya juga membawa masalah sosial kepada masyarakat. Bukan
sedikit masalah yang berlaku akibat dari kegilaan terhadap perjudian ini
sehingga kehidupan penagih judi ini hidup melarat dan tidak terurus.
Pihak kerajaan sepatutnya mengharamkan semua bentuk kegiatan perjudian
dengan tidak memberi sebarang lesen kepada mana-mana premis kerana ianya
lebih banyak memberi kerosakan dari kebaikan kepada masyarakat. Negara
dan rakyat akan aman dan selamat tanpa judi. Judi boleh merosakkan masa
depan anak-anak muda dan juga generasi akan datang. Mencegah lebih baik
dari mengubati kalau bukan sekarang, bila lagi?
Cheap Offers: http://bit.ly/gadgets_cheap
Cheap Offers: http://bit.ly/gadgets_cheap
Comments
Post a Comment