Polis Bukan Hanya Perlu Bersih, Tetapi Perlu Kelihatan Bersih.
Syabas diucapkan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad
Fuzi Harun yang memberi mesej tegas kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM)
agar menjaga integriti dan tidak melindungi kegiatan jenayah termasuk judi dan
gengsterisme. Semua ini bagi memastikan tiada lagi anggota dan pegawai polis
terlibat rasuah dan menjadi tali barut penjenayah.
Sebagai orang yang diamanahkan menjaga keselamatan dan
ketenteraman awam, PDRM mesti memastikan semua pegawai dan anggotanya
melaksanakan tugas-tugas utamanya. Antara tugas utama di bawah Seksyen 3(3)
Akta Polis 1967 adalah mengekalkan undang-undang dan ketenteraman awam dan
mencegah serta mengesan penjenayah.
Sebelum ini pada 9 Oktober lalu di Johor Bahru, seorang
pegawai dan enam anggota polis dari Unit D7, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)
Muar yang didapati berhibur bersama tauke judi haram di sebuah pusat hiburan di
daerah itu ditukarkan ke jabatan lain. Tindakan itu diambil selepas rakaman
video di Facebook itu tular. Itu belum dicampur kes-kes polis yang terlibat dalam
dadah.
Tugas sebagai polis sebenarnya mulia, namun kes-kes seperti
ini bolih menjejaskan kepercayaan dan keyakinan masyarakat kepada agensi
penguat kuasa undang-undang itu. Kita tidak mahu nanti masyarakat hilang hormat
kepada PDRM yang banyak berjasa memelihara dan menjaga keamanan negara.
Barangkali ada yang menyalahkan gajet-gajet terutama telefon
bimbit yang menjadi punca kepada tularnya perlakuan atau tabiat tidak baik yang
dilakukan oleh segelintir anggota PDRM. Mungkin juga ada yang menyifatkan perlakuan
sedemikian sudah menjadi ‘darah daging’ dalam pasukan cuma mutakhir ini ia
heboh apabila diketahui umum.
Namun apa yang diidamkan oleh masyarakat adalah anggota dan
pegawai PDRM yang sentiasa komited melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.
Pendek kata, kedatangan atau kehadiran polis menyebabkan umum rasa tenang
kerana tahu mereka menjaga keamanan dan mencegah jenayah, bukan menjadi satu
ancaman kepada mereka.
Comments
Post a Comment