Selagi Ada 'Judi Halal' ... 'Judi Haram' Tidak Mungkin Dapat Dibenteras.



Terlalu banyak kesan2 buruk yang timbul di sebalik aktiviti perjudian. Dalam menangani gejala buruk ini,  Polis Diraja Malaysia (PDRM) khabarnya telah menubuhkan satu pasukan khas bagi memantau kegiatan ‘Judi Haram’ ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, jawatankuasa yang diketuai beliau sendiri telah ditubuhkan bagi menangani dan menghapuskan premis-premis judi haram yang semakin berleluasa di seluruh negara.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga pernah mengumumkan penubuhan pasukan khas bagi membanteras kegiatan “Judi Haram” yang kini berada pada tahap serius dan luar biasa. Pasukan elit khas ini bakal memiliki keanggotaan dua kali ganda berbanding Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (Sting) serta turut mempunyai kuasa dan peranan seperti pasukan polis dan cekap serta terlatih dari segi operasi.

Agensi-agensi kerajaan lain termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), jabatan agama serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) juga disarankan supaya sentiasa menggempur kegiatan “Judi Haram” ini dan menguatkuasakan undang-undang di bawah enakmen dan akta masing-masing.

Perghhh, gempak sungguh bunyinya. Tapi semua orang tahu, isu judi ini adalah isu yang sudah lama, namun ia masih berterusan berlaku, malah kini semakin bercambah seperti cendawan lepas hujan.

Banyak faktor yang boleh kita kaitkan, antaranya kelicikan pengusaha “Judi Haram” yang beroperasi dan berselindung atas nama pusat hiburan keluarga. Lebih-lebih lagi, mereka dipercayai mempunyai rangkaian kerjasama dengan sindiket perjudian antarabangsa seperti di Hong Kong, Macau serta Taiwan. 

Tapi wait semenet … apakah yang dimaksudkan dengan istilah Judi Haram atau memang ada istilah lain seperti Judi Halal?

 Inilah istilah ciptaan manusia yang amat mengelirukan. ‘Judi Haram’ adalah untuk sebarang aktiviti perjudian yang tidak dilesenkan dan perlu diperangi sebaliknya untuk aktiviti perjudian yang berlesen ia tiada halangan dan boleh beroperasi secara biasa atau luar biasa. 

Judi boleh membuatkan seseorang itu ketagih. Ia juga membuatkan seseorang lupa tentang tanggungjawabnya terhadap keluarganya serta merosakkan sistem kemasyarakatan.
Bukan sedikit masalah yang telah berlaku akibat dari kegilaan terhadap perjudian ini sehingga kehidupan penagih judi ini hidup melarat dan tidak terurus.

 Pihak kerajaan sepatutnya mengharamkan semua bentuk kegiatan perjudian dengan tidak memberi sebarang lesen kepada mana-mana premis kerana ianya lebih banyak memberi kerosakan dari kebaikan kepada masyarakat. 

 Judi boleh merosakkan masa depan anak-anak muda dan juga generasi akan datang. Mencegah lebih baik dari mengubati kalau bukan sekarang, bila lagi?

 Negara dan rakyat akan aman dan selamat tanpa judi.


Hapuskan istilah "Judi Haram" sebab semua unsur judi adalah haram !

Comments

Popular posts from this blog

Siang Jadi Kedi, Malam Jual Diri.

WARGA ASING MULA KUASAI LAPANGAN GOLF.

Malaysia Syurga Pendatang Asing.